Sejarah dan Latar Belakang Sukan Memanah
Apabila anda mula memegang panah dan
melepaskan anak panah yang pertama sebenarnya anda telah melakukan satu acara
yang telah pun bermula sejak 20,000 tahun yang lalu.
Para pengkaji sejarah mula dapat mengesan aktiviti
memanah apabila menjumpai satu bukti lukisan yang terdapat di gua-gua lama di
Sepanyol. Lukisan ini dilukis kira-kira 8,000 tahun sebelum masehi.
Pada masa itu, aktiviti memanah digunakan
untuk tujuan mencari bahan-bahan makanan.
Pada zaman Mesir kuno kira-kira 3500 tahun
masehi yang lalu panah digunakan sebagai senjata dalam peperangan. Ukuran alat
pada zaman itu hampir tinggi dengan saiz fizikal mereka. Manakala anak panah
diperbuat daripada batu dan tembaga.
Orang-orang Tartar telah mencipta alat
memanah yang diperbuat daripada kulit, tanduk dan kayu yang telah dibengkokkan
kira-kira di sekitar 1800 tahun sebelum masehi. Alatan memanah dibuat agak
pendek jika dibandingkan pada zaman Mesir kuno. Orang-orang Tartar juga
dikenali sebagai pahlawan yang terulung pada zaman itu.
Panah terus menjadi senjata dalam
peperangan pada zaman kerajaan Rom dan kerajaan Mongolia di sekitar abad ke-11.
Penggunaan panah sebagai senjata mula berkurangan pada abad ke-16 dengan
terhasilnya bahan-bahan senjata api.
Memanah mula berkembang sebagai salah satu
aktiviti sukan di England di sekitar abad ke-16 apabila Rja Hendry VIII
mengarahkan Sir Christopher Morris menubuhkan kelab memanah dalam tahun 1537.
Pertandingan memanah yang pertama mula diadakan pada tahun 1673 di Yorkshire
untuk lelaki dan pertandingan yang pertama untuk wanita bermula pada tahun
1787.
Di benua Amerika Utara kelab memanah
pertama mula ditubuhkan pada tahun 1828 yang dikenali dengan nama United Bowman
of Philadelphia.
Memanah mula dimasukkan dalam acara sukan
Olimpik pada tahun 1900 di Paris, tahun 1904 di Saint Louis dan tahun 1920 di
Belgium. Selepas tahun itu, sukan memanah tidak dipertandingkan di Sukan
Olimpik kerana tidak ada satu peraturan yang tetap mengenai pertandingan
sehingga The Federation International de tir a l'arc (FITA) menggubal
undang-undang pertandingan. Sukan memanah dimasukkan kembali dalam acara Sukan
Olimpik pada tahun 1972 di Munich.
FITA ditubuhkan pada tahun 1931 bertujuan
untuk mempopular dan menggalakkan sukan memanah di seluruh dunia. FITA juga
dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan kejohanan-kejohanan memanah peringkat
antarabangsa dan dunia dan juga sebagai badan yang menjaga dan mengiktiraf
segala rekod dunia dalam sukan memanah.
Di Malaysia sukan memanah adalah di bawah
kelolaan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM). Di peringkat sekolah
sukan memanah adalah di bawah kelolaan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia
(MSSM). Pada tahun 1996 buat pertama kalinya sukan memanah dipertandingkan di
peringkat MSSM. Dengan adanya kejohanan memanah seumpama ini, diharapkan
penglibatan para pelajar dalam sukan ini akan dapat diperluas untuk mencungkil
bakat-bakat baru yang bakal mewakili negara di peringkat yang lebih tinggi.
No comments:
Post a Comment